Utama > Pengenalan Pembangunan Fasa 2

26-Oct-2019

PENGENALAN

Pembangunan Fasa 2 telah dilancarkan pada Mei 2015 ketika Majlis Sambutan Sedekad SRIBU. Majlis Pecah Tanah Fasa 2 telah disempurnakan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia dan juga Ahli Parlimen Marang. Pembangunan Fasa 2 ini adalah keperluan terdesak SRIBU memandangkan Surau Sementara sekarang hanya mampu menampung separuh daripada bilangan keseluruhan pelajar dalam satu-satu masa (pelajar bergilir-gilir solat). Tambahan pula, tingkat 3 dan tingkat 4 bangunan sekarang yang digunakan sebagai asrama pelajar telah menyebabkan terhadnya ruang dan bilik-bilik untuk kegunaan akademik seperti kelas dan makmal.

 

PAKEJ PEMBANGUNAN FASA 2

Pembangunan Fasa 2 dibahagikan kepada dua pakej atau sub fasa pembangunan iaitu Pakej A dan Pakej B.

Kerja-kerja Pembangunan Pakej A1 dalam Pembangunan Fasa 2 termasuklah kerja-kerja tanah (menambak kawasan berpaya belakang Bangunan Akademik SRIBU), kerja-kerja parit dan longkang, kerja-kerja membina retaining wall dan menurap konkrit di laluan masuk utama, serta membina pagar. Kerja-kerja ini telah dijalankan secara berperingkat (kerana bergantung kepada jumlah sumbangan/wakaf yang diterima) pada bulan Ogos 2015 dan siap pada September 2016.

Kerja-kerja Pembangunan Pakej A2 adalah membina sebuah titi bagi merentasi Sungai Mengkuang. Pembinaan titi ini adalah bertujuan untuk menghubung antara tanah milik sekolah yang terpisah oleh Sungai Mengkuang. Kawasan tanah seberang sungai ini akah dijadikan padang dan juga fasiliti sukan untuk pelajar SRIBU. Kerja-kerja ini telah dijalankan pada Disember 2016 dan siap pada April 2017.

Kerja-kerja Pembangunan Pakej A3 adalah kerja-kerja tanah bagi membina sebuah padang dan kawasan yang akan dilengkapkan dengan beberapa fasiliti sukan untuk pelajar SRIBU. Kerja-kerja ini telah dijalankan pada April 2017 dan siap pada Februari 2018. Buat masa sekarang, hanya rumput yang ditanam di kawasan ini manakala fasiliti lain (seperti gelanggan sepak takraw, bola jaring dan futsal) belum dibina.

Kerja-kerjaPembangunan Pakej A4 adalah kerja-kerja tanah di Lot 932, iaitu lot tanah baru yang dibeli oleh SRIBU pada tahun 2016. Lot ini akan dibina sebuah Pusat Islam dan Asrama Lelaki. Kerja-kerja tanah siap sepenuhnya pada April 2017.

 

PAKEJ UTAMA PEMBANGUNAN FASA 2

Pakej Utama atau Pakej B dalam perancangan Pembangunan Fasa 2 SRIBU adalah membina sebuah Bangunan Pusat Islam, sebuah Bangunan Asrama Lelaki dan Kuarters Guru, dan sebuah Bangunan Asrama Perempuan dan Kantin/Dewan makan sekolah. Bangunan Pusat Islam akan menempatkan Dewan Besar Ballroom (Aras Bawah), Ruang Solat menampung 1,000 orang jemaah dewasa (Aras 1 dan 2), Pejabat Pentadbiran sekolah rendah dan menengah (Aras 1) dan Dewan Seminar (Aras 2).

Kemudahan-kemudahan di Bangunan Pusat Islam ini akan dikongsi bersama penggunaannya oleh sekolah rendah (SRIBU) dan juga sekolah menengah (SMITI Bahrul Ulum) apabila telah siap kelak. Malah Pusat Islam (ruang solat) bangunan ini juga akan dibuka kepada penduduk setempat bagi menunaikan Solat Jumaat, memandangkan Qaryah Mengkuang Titi ini masih belum mempunyai masjid. Solat Jumaat sekarang dijalankan di surau sebuah taman berdekatan dan tidak dapat menampung sepenuhnya kapasiti untuk penduduk setempat.

Pembinaan Pakej Utama Fasa 2 ini tertangguh sejak 2016 disebabkan pihak SRIBU masih menunggu proses pindah milik tanah Lot 932 selesai sepenuhnya (masih tertangguh akibat proses pusaka penjual yang telah meninggal dunia selepas perjanjian jual beli ditandatangani). Insyallah pihak SRIBU merancang dan berharap untuk memulakan kerja-kerja cerucuk pada tahun 2020.

Click JOM DERMA untuk menderma/berwakaf Pembangunan Fasa 2.