Utama > Pengenalan SMITI Bahrul Ulum

26-Oct-2019

PENGENALAN

Bagi memenuhi hasrat dan permintaan masyarakat Muslim Pulau Pinang khususnya dari kalangan waris-waris SRIBU, satu Jawatankuasa Khas Penubuhan Sekolah Menengah telah diwujudkan pada tahun 2017. Jawatankuasa ini menamakan cadangan sekolah menengah dengan nama Sekolah Menengah Sains Islam Bahrul Ulum (SMIBU), yang akan menjadikan bidang sains dan teknikal sebagai salah satu bidang fokus (niche area) di samping bidang agama.

Pada hujung tahun 2018, Jawatankuasa Khas ini bersetuju untuk berada dalam rangkaian Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) yang akan memberi kelebihan dalam aspek pembangunan dan perkembangan guru, kurikulum dan kokurikulum. Maka pada tahun 2019, SMIBU ditukar nama kepada SMITI Bahrul Ulum.

TUJUAN PENUBUHAN

Melahirkan generasi Islam yang akan menjadi ulamak, teknokrat dan umarak pada masa hadapan yang beriman dan bertaqwa, berilmu pengetahuan dan memiliki Syakhsiah Islamiyah.

KONSEP DAN ALIRAN KURIKULUM

  1. Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) - iaitu subjek-subjek akademik yang dirangka dan diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (Peperiksaan : SPM)
  2. Kurikulum Tahfiz - iaitu kurikulum hafazan dan penghayatan Al Quran yang dirangka oleh SMITI Malaysia.
  3. Kurikulum Keterampilan Daie - iaitu subjek-subjek khas dalam melahirkan daei yang dirangka oleh SMITI Malaysia.
  4. Kurikulum Khas Teknikal (TVET) dan kurikulum tambahan - subjek-subjek "niche area" yang dirangka oleh Jawatankuasa Khas SMITI Bahrul Ulum.
  5. Kurikulum Azhari - subjek-subjek agama bagi menduduki Peperiksaan STAM (pilihan pelajar).

KAPASITI PELAJAR

Pada peringkat awal penubuhan sasaran seramai 60 orang pelajar setiap batch, sehinggalah pembinaan bangunan tetap SMITI Bahrul Ulum siap, di mana sasaran kapasiti penuh adalah seramai 120 orang setiap batch.

CADANGAN OPERASI

Cadangan peringkat awal adalah pada sesi Persekolahan 2021, namun bergantung kepada persediaan kewangan dan persediaan fasiliti (bangunan sementara/sewaan bangunan). Sekarang Jawatankuasa Khas Penubuhan juga sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan penubuhan/operasi dari Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

CADANGAN PEMBANGUNAN SMITI BAHRUL ULUM

Perancangan Utama (Master Plan) masa hadapan adalah SMITI Bahrul Ulum memiliki bangunan akademik dan asramanya sendiri di tanah/tapak SRIBU sekarang. Bangunan SMITI Bahrul Ulum ini akan menjadi sebahagian daripada Kompleks Pendidikan Bahrul Ulum. Melalui idea kompleks ini, SMITI Bahrul Ulum akan berkongsi kemudahan Surau, Dewan, Pejabat Pentadbiran, Padang dan Dewan Makan dengan SRIBU. Idea kompleks ini adalah satu penjimatan kos yang sangat signifikan.

Buat masa sekarang, Ahli Lembaga Tadbir (ALT) sedang memberi tumpuan kepada pembinaan Fasa 2 SRIBU (kemudahan surau, dewan, pejabat dan padang adalah dikongsi bersama), dan selepas kerja-kerja pembinaan Fasa 2 dijalankan, insyallah tumpuan seterusnya adalah kepada perancangan pembinaan blok akademik SMITI Bahrul Ulum (Fasa 3).

WAKAF PEMBELIAN TANAH (TAPAK SMITI BAHRUL ULUM)

Pihak Ahli Lembaga Tadbir (ALT) sedang berusaha untuk membeli sebidang tanah bersebelahan tanah SRIBU bagi membina bangunan sekolah menengah memandangkan keluasan tanah sekarang amat terhad. Pihak ALT telah bersetuju untuk membeli sebahagian tanah di Lot 931, Mukim 19, Kampung Mengkuang Titi. Jumlah keluasan yang telah dipersetujui adalah 1.23 ekar (kira-kira 1/3 daripada keseluruhan keluasan lot).

Justeru itu, pihak ALT telah membuka tawaran Wakaf Pembelian Tanah tersebut kepada semua masyarakat Muslim yang ingin bersama-sama turut serta berkongsi pahala dan hasrat dalam perjuangan fi Sabillillah ini.

WAKAF/SUMBANGAN DANA PEMBANGUNAN DAN PENUBUHAN SMITI BAHRUL ULUM

Dana ini akan digunakan bagi menampung kos-kos awal penubuhan SMITI Bahrul Ulum termasuklah kos infrastruktur seperti pembinaan bangunan sementara atau kos ubahsuai bangunan sewaan, kos penyediaan fasiliti pendidikan seperti pembelian kerusi, meja, whiteboard dan sebagainya, serta kos-kos lain yang berkaitan.

PENUTUP

Semoga Allah permudahkan usaha ini. Dan pihak kami juga mengajak tuan/puan untuk bersama-sama membantu dan menyumbang kepada penubuhan SMITI Bahrul Ulum ini.

Click JOM DERMA untuk menderma/berwakaf Pembangunan SMITI Bahrul Ulum.