Utama > SEJARAH RINGKAS

16-Apr-2019

Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) ditubuhkan pada pertengahan tahun 2004 hasil cadangan dan inisiatif beberapa orang pemuda bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim ketika itu khuusnya di Pulau Pinang yang mahukan sistem pendidikan Islam, alternatif kepada pendidikan arus perdana. Keperluan ini berikutan kesedaran di kalangan masyarakat Muslim tentang pentingnya pendidikan asas Islam diterapkan kepada anak-anak mereka, sebagai benteng kepada meningkatnya gejala sosial, kemaksiatan dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan pelajar ketika itu.

Pada Januari 2005, SRIBU memulakan operasinya dengan menyewa premis sementara di Pusat Perniagaan (bangunan Rumah Kedai) Taman Arowana, Permatang Pauh. Ustaz Mohd Yusni Bin Mat Piah telah dilantik sebagai Mudir yang bertanggungjawab mentadbir operasi sekolah. Pelajar bagi sesi pertama persekolahan ini berjumlah 31 orang. Jumlah pelajar terus meningkat kepada 79 orang pada tahun berikutnya, dan meningkat kepada 135 orang pada tahun 2007. Pada tahun 2016 pelajar SRIBU telah mencecah 368 orang pelajar.

 

Pada tahun 2009, SRIBU telah bersetuju untuk membeli tanah seluas 6.7 ekar di Lot 128 Mukim 19, Kampung Mengkuang Titi, Kubang Semang, dengan harga RM1.5 juta. Namun, disebabkan ketidakmampuan untuk menyelesaikan pembayaran tersebut dalam masa yang di tetapkan seperti perjanjian asal, maka SRIBU hanya membeli sebahagian (1/2) daripada tanah tersebut dengan harga RM750 ribu.

 

 

Pada bulan Jun 2013, kerja-kerja pembinaan Fasa 1 Kompleks SRIBU telah dimulakan. Pada pertengahan Januari 2015, pembinaan ini telah siap dan SRIBU telah memulakan sesi persekolahan tahun 2015 di kompleks yang baru ini.

Alhamdulillah, sehingga hari ini SRIBU masih mampu mengekalkan kelestariannya, hasil daripada sumbangan derma dan pelbagai bentuk sokongan daripada masyarakat Islam seluruh Malaysia.